News
Surabaya antara calon anjur Sukan Asia 2019
KUALA LUMPUR - Taipei, Surabaya serta gandingan Dubai dan Abu Dhabi menjadi calon pendahulu bagi dipilih untuk menganjurkan Sukan Asia 2019.
Ketiga-tiga jawatankuasa Olimpik; China Taipei, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu telah mengemukakan hasrat untuk menghitung peluang bagi dipilih sewaktu Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia di Macau pada 3 November kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Media OCA, Charles Lo menyebut bahawa peluang ketiga-tiganya terbuka luas dengan pemantauan akan dibuat sebelum pemilihan akhir sewaktu perhimpunan itu.
Turut sama bersama beliau dalam mesyuarat di Macau pada 7 Februari 2012 ialah Ketua Pengarah OCA, Husain Al-Musallam.
Di samping pencalonan untuk Sukan Asia, dua bandar raya, Doha (Qatar) dan Tokyo (Jepun) merupakan dua calon dari Asia untuk dicalonkan sebagai hos Sukan Olimpik XXXII pada 2020.
Jawatankuasa itu juga diberitahu bahawa perayaan 100 tahun Sukan Asia akan berlangsung di Manila tahun depan. Manila merupakan gelanggang pertama temasya berkenaan yang dahulu dikenali sebagai Oriental Games dilangsungkan.
Jawatankuasa Media OCA diketuai oleh Presiden Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Macau, Charles Lo. Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Thomas Tsai (China Taipei), Shahrokh Shahnazi (Iran), Jugder Otgontsagaan (Mongolia), Hassan Abdulla Al-Mohammadi (Qatar), Prema Pinnawale (Sri Lanka), Rosmanizam Abdullah (Malaysia), Hilal Al-Sinani (Oman), Ahmed Marzouq (Maldives), Hiroshi TakeuChi (Jepun) dan Salem Alawi (Syria).
Sementara itu, laman web bahasa Mandarin akan dilancarkan sewaktu Sukan Asia Pantai di Haiyang Jun ini.
OCA juga masih belum memutuskan acara yang akan dipertandingkan pada Sukan Asia Belia di Nanjing, China tahun depan. Badan itu cuma dapat memastikan bahawa 15 sukan dipertandingkan dengan 12 merupakan acara Olimpik manakala tiga menjadi pilihan tuan rumah.
Usia bagi temasya itu ialah dari 14 hingga 17 tahun.
 BARISAN Jawatankuasa Media OCA yang bermesyuarat di Macau pada 7 Februari 2012 bersama pengerusinya yang juga Presiden Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Macau, Charles Lo (duduk, tiga dari kiri).
Back | | Send To Friend | 09 February, 2012
|